PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kemudahan atau jentera kerajaan yang akan digunakan sepanjang kempen beliau pada PRK itu.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keputusan itu penting untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa PH bertanding dalam PRK itu secara bersih dan telus.
“Kami ada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Datuk Saifuddin Nasution Ismail), beberapa menteri dan timbalan menteri dalam parti kami dan saya telah nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mahu sebarang kemudahan atau jentera kerajaan digunakan dalam pilihan raya kecil ini.
“Sebenarnya, saya dimaklumkan oleh Saifuddin bahawa terdapat satu program yang dirancang sebelum ini oleh kementeriannya dan jatuh pada tempoh berkempen.
“Bagaimanapun mereka membuat keputusan untuk menangguhkan program itu kerana kami tidak mahu dilihat sebagai menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen dan ini adalah isyarat yang penting kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – Bernama











