BAGAN SERAI 26 Sept. – Menebang pokok merupakan satu pekerjaan berbahaya, namun atas niat mahu membantu penduduk, seorang petani di Kampung Parit Haji Amin, Batu Lima di sini menawarkan khidmatnya secara sambilan.

Haidir Abdullah, 50, yang sudah 10 tahun melakukan pekerjaan tersebut menyifatkan khidmatnya itu bukan sekadar mahukan upah tetapi untuk memenuhi permintaan penduduk untuk menebang pokok yang boleh mendatangkan bahaya kepada umum.
Katanya, dia menggantikan rakannya yang sebelum ini memberi khidmat menebang pokok namun telah meninggal dunia.
“Apabila rakan saya meninggal dunia dua tahun lalu, saya mengambil alih pekerjaan ini kerana permintaan orang kampung yang mahu ada orang boleh melakukan pekerjaan menebang pokok.
“Saya senang dengan pekerjaan ini kerana dapat membantu penduduk yang memerlukan perkhidmatan menebang pokok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, untuk menebang pokok, selain peralatan, kemahiran tinggi perlu untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti ditimpa pokok atau pokok ditebang tumbang ke arah lain.
Menurutnya, dia dibantu seorang pembantu yang mahir dalam menebang pokok tinggi yang kadangkala mencecah sehingga lebih 15 meter.
“Untuk menebang pokok yang sudah tua dan tinggi, persediaan rapi perlu dibuat dengan meneliti keadaan pokok, kawasan sekeliling, lokasi, cuaca dan angin.
“Biasanya pokok yang hendak ditebang seperti kelapa, mempelam, kayu ara dan sebagainya terletak berhampiran rumah yang bahayakan penghuninya,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai cara menebang pokok, Haidir berkata, dia dibantu rakannya yang mahir memanjat pokok tinggi dengan memotong dahan pokok terlebih dahulu.
Katanya, selepas itu tali besar diikat pada pokok untuk ditarik dan kemudiannya pangkal pokok akan ditebang.
“Sebelum ditebang, pokok ditakah terlebih dahulu supaya tumbang ke arah tali yang ditarik dan mengelak menimpa rumah,” katanya.
Menurutnya, bayaran menebang pokok bergantung kepada persetujuan bersama dengan penduduk yang memerlukan perkhidmatannya.
Katanya, kadangkala dia dipanggil Majlis Daerah Kerian untuk menebang pokok atau membuang ranting.
“Dalam seminggu biasanya saya ditawarkan dua atau tiga kali kerja menebang pokok. Jika tidak menebang pokok, saya mengambil upah kerja-kerja sawah dan mengait kelapa sawit atau kerja-kerja lain di kampung.
“Alhamdulillah, rezeki daripada kerja kampung cukup untuk saya menampung kehidupan keluarga dan pelajaran anak-anak seramai tujuh orang dan salah seorang anak saya kini di tahun akhir belajar di Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” katanya.











