ARAU 24 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan maklumat daripada pemimpin PKR sekiranya mereka mengetahui bahawa terdapat salah laku dan rasuah termasuk penawaran projek untuk mendapatkan sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pemimpin parti itu berkaitan pemilihan PKR.
Kata beliau, pihak SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya dakwaan tersebut mempunyai asas.
“Silalah membuat laporan terhadap SPRM (jika mempunyai maklumat) supaya kita boleh memulakan siasatan,” katanya ketika ditemui selepas berucap sempena Konvensyen Mahasiswa Antirasuah yang dihadiri seramai 1,500 pelajar dari pelbagai universiti di utara tanah air, di kampus tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Ulu Pauh di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.
Mohd. Shukri diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar hari ini yang mengakui wujud individu tertentu yang berkuasa menawarkan projek bagi mendapatkan sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau sebaliknya.
“Siasatan terhadap kes (1Malaysia Development Berhad-1MDB) telah selesai. Saya tidak boleh kata iya (mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor) atau tidak.
“Ia bergantung kepada Pejabat Peguam Negara kerana siasatan kes telah diserahkan kepada mereka,” katanya lagi.
Beliau diminta mengulas kenyataan SPRM baru-baru ini yang tidak menolak kemungkinan bahawa Rosmah akan berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah. – UTUSAN ONLINE










