WILMINGTON, Carolina Utara – Hujan, angin kencang dan banjir melanda negeri Carolina Utara dan Carolina Selatan semalam ketika Taufan Florence membadai kawasan pesisir pantai dan mengancam berjuta-juta penduduk.
Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper berkata, ribut itu dijangka menyebabkan seluruh negeri itu ditenggelami air banjir sehingga satu meter, sementara ahli kaji cuaca tempatan, Brandon Locklear meramalkan taburan hujan selama lapan bulan akan turun dalam tempoh dua atau tiga hari.
Taufan Florence tiba di daratan dekat Cape Fear, Carolina Utara sekitar tengah hari semalam, manakala ahli-ahli meteorologi berkata, saiz ribut itu yang besar bermakna ia akan membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) dengan angin kencang hampir seharian.
Dalam perkembangan berkaitan, air Sungai Neuse di New Bern, sebuah bandar dekat Pantai Timur AS, sudah melimpah pada kedalaman 3 meter, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).
Pusat bandar yang didiami 30,000 orang itu digenangi air dengan kira-kira 150 orang menunggu untuk diselamatkan.
Sekurang-kurangnya 188,000 orang terputus bekalan elektrik di Carolina Utara dan Selatan awal semalam. Syarikat pembekal tenaga tempatan memaklumkan bahawa berjuta-juta orang dijangka bergelap, manakala kerja pemulihan akan mengambil masa beberapa minggu.
Kekuatan Florence lemah kepada taufan Kategori 1 petang kelmarin dengan tiupan angin maksimum 150 kilometer sejam.
Pusat taufan itu bergerak ke arah barat dan berada kira-kira 80 kilometer ke selatan Bandar Morehead setakat pukul 1 pagi semalam (waktu tempatan).
Kira-kira 10 juta orang mungkin terjejas akibat Taufan Florence dengan lebih sejuta penduduk telah diarahkan berpindah dari kawasan pantai di Carolina Utara, Carolina Selatan dan Virginia. – Reuters










