Tanah Orang Asli: Pendirian Pusat selari dengan Kelantan - Utusan Malaysia

Tanah Orang Asli: Pendirian Pusat selari dengan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 24 Sept. – Kerajaan Pusat akur dan bersetuju dengan setiap langkah diambil Kerajaan Pas Kelantan bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah oleh Orang Asli di Gua Musang dengan menjadikan beberapa kes mahkamah terdahulu sebagai garis panduan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, R. Sivarasa berkata, antara langkah diambil kerajaan negeri ketika ini ialah memulakan proses pewartaan tanah rizab masyarakat itu di kawasan tertentu secara berperingkat.

Katanya, kerajaan Pusat bersedia membantu kerajaan negeri melancarkan proses pewartaan itu yang kini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan.

“Secara dasarnya, pendirian Pusat mengenai isu tanah Orang Asli ini sama dengan dasar kerajaan negeri dan kedua-dua belah pihak iaitu Pusat dan negeri bersetuju supaya kes ini diselesaikan mengikut panduan daripada kes-kes mahkamah terdahulu termasuk Pos Belatim.

“Cuma usaha ini (pewartaan) tidak boleh diselesaikan sekali gus, perlu dibuat kawasan demi kawasan dan kita harap semua pihak bersabar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, setakat ini, sebanyak 1,500 hektar kawasan telah diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli membabitkan tujuh perkampungan di hulu Kelantan.

Katanya, Jakoa yang mengendalikan proses itu diminta turun ke lapangan lebih kerap dan mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli bagi menerangkan kepada mereka usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri serta mengelak timbul salah faham.

“Cuma ingin saya sebut sekali lagi, di Kelantan ini kita tidak mengiktiraf tanah adat. Sebab tanah adat ini hanya di Sabah dan Sarawak. Namun kita iktiraf kawasan penempatan Orang Asli dan tidak ganggu kawasan itu.

“Sebelum ini, Orang Asli mendakwa Jakoa tidak berbincang dulu dengan mereka sebelum kenal pasti kawasan untuk diwartakan. Jadi memang kena turun padang dan beri penjelasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN