SETIU – “Saya dah larang kakak supaya jangan mandi jauh dari saya, tapi tak sampai lima minit saya dengar suara meminta tolong,” keluh ibu kepada Nur Qumairah Qistina Mohammad Nizam, 12, yang lemas di lagun Boardwalk di sini hari ini.
Che Azlina Che Muda, 39, berkata, sebelum kejadian anak sulungnya itu kerap merayu agar membawa beliau ke situ namun berjanji akan menunaikan permintaan tersebut selepas selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu.
“Memang niat nak bawa arwah ke sini lepas habis UPSR. Jadi saya ajak sekali kawan-kawan rapat arwah tiga orang yang memang selalu dengan beliau dalam satu kelas.
“Saya tak sangka benda ni nak jadi, pada awalnya kami datang memang nak mandi manda juga tapi tak adalah sampai ke kawasan tengah cuma di kawasan cetek,” katanya ketika ditemui pemberita di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap di sini.
Menurut Azlina, yang merupakan seorang suri rumah, semasa kejadian, ayahnya, Che Muda Che Ahmad, 66, dan orang ramai cuba menyelamatkan anaknya dan tiga rakannya Nor Hafizatul Nabihah Mohd Jaffar, Nur Ain Najihah Abdul Rani dan Aisha Syakirah Ishak, kesemuanya berusia 12 tahun. – Bernama











