KUALA LUMPUR 27 Sept. – Setiap syarikat atau organisasi komersial wajib mempunyai prosedur pencegahan rasuah selaras dengan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 yang bakal dilaksanakan sepenuhnya tahun 2020 nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Antirasuah dan Pematuhan Korporat, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk P. Ganason berkata, langkah tersebut bagi memastikan syarikat terlibat tidak diambil tindakan sekiranya terdapat pekerja atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka melakukan rasuah dalam urusan kerja.
Menurut beliau, menerusi undang-undang liabiliti korporat ini syarikat perlu bertanggungjawab sekiranya kakitangan mereka memberi rasuah bagi mendapatkan projek perniagaan bagi pihak syarikat.
“Bagaimanapun organisasi komersial akan mempunyai sistem pertahanan penuh jika boleh menunjukkan mereka mempunyai prosedur mencukupi bagi mengelakkan pekerja terlibat dengan rasuah,” katanya dalam satu temu bual khas di pejabatnya di MACA sini.
Bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, ujar Ganason, SPRM mengambil langkah dengan mengadakan seminar bertajuk ‘Gearing Up For Corporate Liability’ yang menyasarkan penyertaan semua pemain industri korporat pada 10 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Seminar ini bertujuan memastikan setiap pihak berkepentingan atau organisasi memahami pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat.
“Selain memberi penerangan mengenai peruntukan undang-undang dalam Seksyen 17A itu, seminar separuh hari itu juga akan menerangkan inisiatif dan langkah pencegahan yang boleh diambil sesebuah organisasi bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang berkaitan liabiliti korporat,” katanya.
Tambahnya, antara penceramah bagi seminar itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Ahli Lembaga Pengarah MRT Corporation, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Norzilati Izhani Zainal.
“Mana-mana syarikat yang berminat menyertai seminar tersebut boleh menghubungi talian 03-6209 2889, 2892 atau 2890 untuk pendaftaran serta maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











