BAIK Syafiq Farhain atau Baby Shima, masing-masing boleh dikatakan antara pelapis yang sedang meningkat naik dalam membina nama mereka dalam industri hiburan. Biarpun datang daripada latar belakang berbeza, tetapi kedua-duanya berkongsi kecintaan yang sama dalam bidang nyanyian.
Sungguhpun program realiti Big Stage yang menampilkan mereka berdua sebagai finalis sudah melabuhkan tirai pada minggu lalu, itu tidak bermaksud perjuangan mereka berakhir di situ. Ini kerana hakikat sebenar, baik Syafiq atau Shima masih banyak lagi yang perlu diterokainya untuk terus membina nama.
Menang atau kalah, sudah menjadi adat pertandingan. Biarpun bukan bergelar juara, apa yang pasti, kedua-dua mereka mengakui banyak menimba pengalaman berguna sepanjang menyertai Big Stage yang bersiaran di saluran Astro Ria itu.
Pengalaman dan ilmu berguna yang diperoleh sepanjang lapan minggu itulah yang akan digunakan mereka berdua dalam melalui hari mendatang agar sebagai pelengkap kepada kerjaya mereka sebagai seorang penyanyi.
Cuba berlakon
Menurut Syafiq, dia mengakui penglibatan program realiti membuatkan dirinya perlu melakukan pengorbanan yang cukup besar. Mana tidaknya, dia membuat keputusan untuk mengambil cuti selama dua bulan daripada tugas hakikinya sebagai anggota bomba.
“Sebenarnya saya mengambil cuti dua bulan tanpa gaji. Cuti saya pun sudah habis, jadi selepas ini tidak boleh mohon cuti lagi. Jadi, saya perlu menyusun jadual waktu karier seni dengan lebih baik.
“Saya pun kena pilih tawaran menyanyi mengikut kesesuaian waktu iaitu pada waktu malam atau pada hujung minggu sahaja memandangkan ada tanggungjawab lain pada siang hari,” katanya yang berjaya membawa pulang RM50,000 selepas bergelar naib juara dalam program tersebut.
Ternyata, rezeki Syafiq yang juga anak kepada vokalis Saleem Iklim itu tidak putus-putus. Katanya, selepas ini dia bukan sahaja menyanyi, sebaliknya diberi peluang mencuba bidang baharu apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah filem berjudul Hero yang kini sedang menjalani proses penggambaran.
Walaupun satu cabang seni baharu untuk diterokainya selepas ini, penyanyi berusia 24 tahun itu memberitahu, naskhah tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang cukup menarik kerana memaparkan kerjayanya sebagai seorang anggota bomba.
“Alhamdulillah, selepas tamat Big Stage, saya akan ke set penggambaran untuk filem Hero pula.
Memandangkan ia mengangkat kisah anggota bomba, jadi, saya dalam filem itu seolah-olah berada dalam satu tugasan jugalah. Antara pelakon lain yang ada sama termasuklah Hisyam Hamid dan Mark Adam,” kongsinya yang kini muncul dengan single ketiga berjudul Aku Jatuh Cinta yang dinyanyikan buat pertama kali di pentas Big Stage minggu lalu.
Bercakap mengenai single terbaharu itu, menurut Syafiq ia merupakan satu bentuk eksperimentasi baharu apabila menyanyikan lagu berentak rancak yang dihasilkan oleh kompose rRoom None dan lirik oleh Iman Imran.
“Memang diakui saya lebih kepada lagu balada, tetapi lagu baharu ini memang memperlihatkan sisi lain saya apabila membawakan lagu yang sedikit rancak. Apapun sesuatu yang bagus juga kerana saya boleh melihat potensi diri sendiri apabila kita tampilkan sesuatu yang di luar kebiasaan,” kongsinya.
Biarpun perlu berdepan cabaran untuk menyeimbangkan kerjaya hakiki dan bidang seni, kata Syafiq, sebolehnya dia mahu apa jua bidang berjalan dengan baiknya. Justeru, walaupun sudah terlibat dengan dunia lakonan dan nyanyian, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kariernya sebagai anggota bomba.
Fokus di Indonesia
Bagi Shima pula, sejurus tamat program Big Stage, dia perlu kembali ke rutin asalnya menetap di Indonesia untuk mengembangkan kerjaya di sana. Kejayaannya untuk terus kekal sebagai finalis sebenarnya sudah cukup baik.
Sekurang-kurangnya, menurut Shima, pentas Big Stage membuka ruang buatnya memperkenalkan kepada orang ramai mengenai bakat nyanyiannya yang boleh disifatkan sebagai versatil.
“Selama ini orang mungkin hanya tahu saya bawa lagu dangdut sahaja, lebih-lebih lagi apabila saya muncul dalam program D’Academy Asia sebelum ini. Jadi, apabila terlibat dengan Big Stage, kita membawakan pelbagai genre, di situlah saya dapat buktikan kemampuan diri dan dinilai orang di luar,” kongsinya penyanyi berusia 26 tahun itu.
Menurut Shima lagi, selepas ini dia akan terus fokus dengan kerjaya seninya yang sudah mula bertapak di Indonesia selepas pembabitannya dalam D’Academy Asia pada tahun lalu.
“Bukan saya merajuk tak mahu menyanyi di Malaysia. Jika ada tawaran di sini, saya tetap akan pulang. Cuma, buat masa ini, saya memang menetap di Indonesia kerana terikat dengan kontrak syarikat pengurusan di sana selama tiga tahun.
“Saya pun sudah setahun tinggal di sana. Alhamdulillah, rezeki saya di sana. Jika ada keperluan, barulah saya balik ke sini. Bukan apa, agak sukar buat saya berulang-alik jika tinggal di sini.
Bahkan, sepanjang program Big Stage, saya terpaksa berulang-alik setiap minggu antara Jakarta dan Kuala Lumpur,” katanya yang sebelum ini pernah viral menerusi video dimarahi penyanyi Mas Idayu sewaktu di D’Academy Asia.
Menurut Shima, tidak dinafikan, adakalanya, orang di luar keliru dengan identitinya sama ada warganegara Malaysia atau Indonesia. Lebih-lebih lagi apabila pertuturannya dalam bahasa Indonesia semakin fasih.
“Pengikut saya di Instagram pun lebih kurang 80 peratus terdiri daripada rakyat Indonesia. Bukan senang kerana saya perlu belajar bahasa mereka juga untuk berkomunikasi. Sekarang, saya semakin mahir bertutur dalam bahasa Indonesia,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Walaupun mencari rezeki di negara orang, menurut Shima, apa yang lebih penting, perjuangan seni yang cuba dibawanya mendapat perhatian umum. Mengakui ada pihak yang menyatakan hasrat untuk menawarkan dirinya untuk berlakon, namun katanya, buat masa ini biarlah dia meletakkan fokus kepada dunia nyanyian.
“Buat masa ini, jadual saya sehingga hujung tahun memang padat dengan persembahan nyanyian di Indonesia. Di sana situasinya tidak sama dengan di Malaysia. Jika mahu ke lokasi persembahan, tempoh perjalanan membuatkan kita penat.
“Perlu naik feri dan jalan darat berjam-jam, selain menaiki kapal terbang,” kongsinya yang memberitahu, lagu-lagunya pernah berada di carta atas di beberapa stesen radio di Indonesia.











