Sulawesi: Malaysia akan salurkan bantuan segera - Utusan Malaysia

Sulawesi: Malaysia akan salurkan bantuan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 29 Sept. – Bantuan kebombaan akan segera dikerah ke Sulawesi yang dilanda gempa bumi dan tsunami jika keadaan mendesak.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, pada masa ini pihaknya masih memantau situasi serta tahap kemusnahan yang berlaku di wilayah berkenaan.

Beliau memberitahu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Sulawesi yang dilanda gempa bumi namun bantuan itu bergantung kepada keperluan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang ini kita masih pantau situasi di sana (Sulawesi) dan kita juga belum terima berita serta gambaran lengkap. Apabila kita dapat maklumat lebih tepat tentang keadaan di sana, kita akan ambil langkah untuk hantar bantuan.

“Malaysia mungkin negara pertama yang hantar bantuan memandangkan kedudukannya lebih dekat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu di Pulau Warisan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri Salleh; Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki dan Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia menerusi JBPM bersedia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Sulawesi bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda wilayah itu ketika ini.

Raja Kamarul Bahrin seterusnya memberi gambaran bantuan tersebut akan dihantar dalam masa terdekat, merangkumi barangan, makanan serta kerja-kerja pembaikan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut jumlah anggota atau pegawai JBPM yang akan dikerah ke Sulawesi kerana ia bergantung kepada perkembangan serta keperluan mendapatkan bantuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini