Sturridge sudah kembali - Utusan Malaysia

Sturridge sudah kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL 19 Sept. – Da­niel STURRIDGE dihujani pujian selepas mempamer aksi cemerlang ketika Liverpool me­numpaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-2 dalam aksi sulung Liga Juara-Juara hari ini.

Jurulatih Reds, Jurgen Klopp menyifatkan penyerang itu sudah kembali ke prestasi terbaik manakala bekas pertahanan Liverpool, Stephen Warnock berkata, Sturridge bagaikan pemain bernilai 50 juta pound (RM272 juta) apabila mempamer aksi sebenar.

Sturridge membuka jaringan menerusi tandukan cantik di minit ke-30 pada aksi pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini.

Biarpun berdepan aksi mencemaskan di Anfield, Reds mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan pertama, berterima kasih kepada gol waktu kecederaan pemain gantian, Roberto Firmino.

“Persembahan yang hebat daripada Daniel. Saya tidak pernah lihat dia begitu agresif seperti ini. Dia ada di mana-mana, kiri dan kanan tetapi berada tepat pada masanya dalam kotak penalti apabila diperlukan,” kata Klopp.

Firmino pula katanya, walaupun masih berdepan masalah mata tetapi membawa impak sebaik sahaja masuk menggantikan Sturridge pada minit ke-75.

“Bobby (Firmino) sangat membantu apabila dibawa ma­suk. Saya tertarik dengan gaya dia meraikan gol,” ujarnya lagi merujuk kepada aksi Firmino menutup satu matanya dengan tangan ketika berlari ke arah penonton.

Sturridge, 29, menghabiskan separuh ke­dua musim lalu dengan dipinjamkan kepada West Brom ekoran kecederaan panjang yang menghadkan peluang­nya di Liverpool.

Dia meletakkan Reds di depan selepas menanduk hantaran lintang Andy Robertson sebelum James Milner menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-36 menerusi penalti.

PSG menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Thomas Meunier (minit ke-40) dan Kylian Mbappe (m-83), namun gol Firmino memberi penamat sempurna buat Liverpool.

“Jika Liverpool mahu mencabar pelbagai kejuaraan musim ini, Sturridge perlu memainkan peranan utama,” ujar Warnock kepada BBC Radio 5.

“Daniel mempamer sikap yang bagus – usaha dan hasil kerja,” kata bekas legenda Liverpool, John Barnes. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN