KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaparkan pengisytiharan harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di portal suruhanjaya itu bermula 1 Oktober ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd, Jamil berkata, ini seiring arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan semua wakil rakyat PH bersikap telus dan bebas rasuah.
“Usaha memaparkan pengisytiharan harta ini kali pertama kita lakukan untuk tatapan umum,” katanya selepas menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio untuk memperkenalkan rancangan bual bicara SPRM 360,di sini hari ini.
Menurutnya kesemua anggota Kabinet dan wakil rakyat PH perlu membuat pengisytiharan itu kepada Pejabat Perdana Menteri yang kemudian akan menghantar salinannya kepada SPRM untuk dimuat naik di portal suruhanjaya.
Mengulas lanjut, Shamsun Baharin berkata, setakat pihaknya belum menerima senarai penuh pengisytiharan berkenaan. – Bernama









