Skuad B-16 negara intai gelaran juara Piala AFC - Utusan Malaysia

Skuad B-16 negara intai gelaran juara Piala AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pemain skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara tidak sabar memulakan kempen bagi memburu kejuaraan pada Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bakal membuka tirai esok.

Kapten pasukan, Muhammad Hariz Mansor berkata, beliau dan rakan-rakannya sudah membuat persiapan selama empat tahun bagi menghadapi kejohanan berprestij itu, yang turut menawarkan empat slot kelayakan ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.

 “Tidak sabar nak main kerana kami sudah buat persediaan selama empat tahun. Kami pasti akan beri apa yang kita ada dan tidak mengambil mudah terhadap mana-mana perlawanan. Kita lebih bersemangat apabila menjadi tuan rumah kerana keluarga dan rakan-rakan akan hadir memberi sokongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, pasukan yang perlu diawasi ialah Jepun kerana kami tahu corak taktik dan teknikal mereka. Bagaimanapun, ketua jurulatih (Lim Teong Kim) telah memberi penerangan dan kami akan beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM di sini, hari ini.

Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim
Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim

Skuad B-16 Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka kempen menentang Tajikistan, esok, diikuti  bertemu Thailand pada 23 September dan Jepun 26 September.

Ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan melibatkan pasukan negara akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4.30 petang.

Walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran mara ke suku akhir, pemain berusia 16 tersebut dijangka mampu mengikut jejak pasukan B-23 dan B-19 negara mencipta kejutan menewaskan pasukan pilihan pada kejohanan disertai 16 pasukan itu.

Mengulas mengenai aksi menentang Tajikistan yang mempamerkan corak permainan pantas, pemain pertahanan itu berkata rakan sepasukannya sudah diberi taklimat untuk mengekang pasukan lawan daripada menjaringkan gol.

“Kita ada strategi dan kami akan cari gol awal selain mempamerkan semangat juang tinggi sehingga ke wisel penamat. Kekuatan fizikal lawan tidak jadi masalah kerana fizikal kita juga baik,” katanya.

Muhammad Hariz berkata pasukan itu juga tidak mahu mengulangi kesilapan apabila tewas 0-4 dan 1-2, masing-masing kepada Korea Selatan dan India pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Julai lepas.

Pemain muda negara menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala AFC B-16.
Pemain muda negara menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala AFC B-16.

Tiket dijual pada harga RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) di ketiga-tiga venue – Stadium Nasional, Arena Universiti Malaya dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun bagi perlawanan di Stadium Nasional, tiket turut dijual untuk kategori VIP berharga  RM20 dan grandstand RM15. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini