PORT DICKSON 30 Sept.- Sentimen pengundi-pengudi Port Dickson terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini dilihat positif menerusi kaji selidik awal yang dijalankan PKR.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang sedang berjalan, pihaknya telah memulakan satu kaji selidik melibatkan pengundi-pengundi di Port Dickson di mana hasil dapatannya akan siap beberapa hari lagi.
“Kami telah memulakan kaji selidik yang akan siap dalam beberapa hari lagi namun daripada dapatan awal kaji selidik tersebut, sentimen pengundi terhadap Anwar adalah dilihat positif.
“Ramai yang menyatakan kesediaan untuk menerima Anwar bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen Port Dickson tetapi juga mereka teruja untuk menangkan beliau sekali gus sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) PRK Port Dickson di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, menjelang hari pengundian pada 13 Oktober nanti, pihaknya kini giat berusaha memastikan pengundi-pengundi yang berada di luar Port Dickson untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka.
“Fokus kempen untuk Datuk Seri Anwar dalam PRK kali ini adalah untuk pergi pintu ke pintu, rumah ke rumah, surau dan rumah-rumah ibadat kerana di situlah tempat yang mana dalam kalangan mereka merupakan masyarakat tempatan berada.
“Kami juga memohon dan meminta kepada orang ramai yang kami temui sekiranya mereka mempunyai ahli keluarga yang berada di luar kawasan tetapi pemilih di Port Dickson supaya dapat mengingatkan untuk pulanh mengundi pada 13 Oktober nanti sekali gus bersama memeriahkan proses demokrasi, “ katanya.
Dalam pada itu, tambah Ahmad Fahmi pihaknya mendapati daripada 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi Port Dickson, kira-kira 30 peratus berada di luar Parlimen tersebut.
“Tetapi sekiranya kita melihat daripada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Port Dickson ini kita boleh menjangkakan peratus tersebut mungkin lebih tinggi lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











