Sedih terpaksa lupakan UPSR - Utusan Malaysia

Sedih terpaksa lupakan UPSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 24 Sept. – Pada saat rakan seusianya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini, seorang murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut di sini terpaksa melupakan hasrat untuk mengambil peperiksaan itu selepas disahkan menghidap barah otak.

Mohd. Rusyaidi Mohd. Ridzuan, 12, yang juga Ketua Pe­ngawas di sekolah berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Bapanya, Mohd. Ridzuan Abdul Manaf, 41, berkata, anak sulungnya daripada lima beradik berkenaan tidak dapat menduduki UPSR setelah dinasihatkan doktor ekoran penyakitnya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia yang mesra dengan panggilan Along hendak menduduki peperiksaan UPSR di hospital tetapi doktor mahu dia berehat kerana masih menjalani rawatan untuk mengetahui tahap kanser yang dihadapinya.

“Along akur dengan nasihat doktor dan saya bersama isteri, Maryani Che Ani, 39, turut menasihatinya agar mengutamakan kesihatan walaupun peperiksaan UPSR penting bagi dirinya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, anaknya itu mengalami demam dan muntah selepas menerima rawatan selama empat hari di Hospital Jerantut bermula 9 September lalu dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk menjalani pengimbasan tomografi berkomputer.

Katanya, Mohd. Rusyaidi kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menjalani ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan satu pembedahan di kepala dijalankan pada 17 September lepas.

“Selepas itu Along dimasukkan ke Institut Pediatrik di HKL untuk menerima rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati dia menghidap barah otak. Saya agak terkejut namun reda dengan takdir dan menganggapnya satu ujian daripada Allah SWT.

“Kami masih menunggu pengesahan tahap kanser yang akan diketahui dalam masa terdekat,” ujar Mohd. Ridzuan lagi.

Tambahnya, Mohd. Rusyaidi seorang yang aktif di sekolah dan mendapat keputusan 3A dan 3B dalam peperiksaan percubaan UPSR selain pernah menerima anugerah setelah mendapat keputusan cemerlang 8 A dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini