Saya tahu perbuatan menghisap rokok itu salah - Lando - Utusan Malaysia

Saya tahu perbuatan menghisap rokok itu salah – Lando

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Lando Zawawi menghisap rokok di sebuah stesen minyak di Setia Alam menjadi tular baru-baru ini.

Kejadian berlaku pukul 11.51 pagi pada Jumaat lalu, ketika Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi, 43, baru menghisap rokok di dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger selepas mengisi minyak.

Keadaan itu mengakibatkan seorang pekerja stesen minyak warga India dikenali Loius mengugut akan menyembur alat pemadam api kepada Lando yang merupakan seorang pelakon.

Lando berkata, tindakan pekerja stesen tersebut dianggap satu ancaman kepada dirinya sebagai pelanggan di stesen tersebut.

“Saya tahu perbuatan menghisap rokok itu (dalam stesen minyak) salah namun perbuatan pekerja tersebut amat kurang ajar sehingga ingin terus menyembur alat pemadam api.

“Kalau niatnya betul, tentunya akan menegur secara baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Lando, sewaktu kejadian dia dalam perjalanan ke Segamat, Johor dengan meminjam 4WD dari rakannya.

Ujarnya, dia ada bertemu dengan pemilik stesen tersebut yang merupakan warga Hong Kong dan pekerjanya itu sehari selepas kejadian.

“Hasil pertemuan itu, pemilik telah meminta maaf kepada saya berhubung kes tersebut dengan mengakui telah mengarahkan pekerjanya menggunakan alat pemadam api sekiranya berlaku sebarang kejadian di stesen itu.

“Ini berikutan sebelum ini berlaku pergaduhan antara pekerja stesen itu dan penunggang motosikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Lando menjelaskan bahawa telah membuat laporan polis di Balai Polis Setia Alam pada Ahad lalu atas tujuan keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan menerima laporan tersebut dan kedua-dua pihak telah mengakui kesilapan serta bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan secara baik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN