Saya gagal berjuang untuk rakyat Sabah - Anifah - Utusan Malaysia

Saya gagal berjuang untuk rakyat Sabah – Anifah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 19 Sept. – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan keputusan meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dibuat selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara dan usahanya memperjuangkan perkara-perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama BN menemui kegagalan.

Anifah berkata, beliau perlu mengotakan janji kepada para pengundi dan rakyat Sabah untuk meletakkan jawatan jika hasratnya dalam memperjuangkan perkara itu tidak berjaya.

Beliau berkata, tanpa UMNO dan BN di tampuk kekuasaan usahanya memperjuangkan perkara-perkara berkaitan MA63 di bawah payung BN tidak akan membuahkan hasil dan terpaksa dihentikan.

“Perjuangan saya di dalam politik selama ini adalah sangat jelas. Saya bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekali pun sama ada di dalam mahupun di luar parti.

“Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 ialah titik mula penubuhan sebuah negara Persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Anifah, walaupun tidak lagi bersama UMNO beliau tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan para pengundi di kawasan Parlimen Kimanis.

Pada masa yang sama, beliau mahu kerajaan Pakatan Harapan harus komited di dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN