Saleem masih terima rawatan di PPUKM - Utusan Malaysia

Saleem masih terima rawatan di PPUKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Saleem dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih perlu mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Hospital Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.

Menurut isterinya, Julia Bachok, Saleem atau nama sebenarnya A. M Salim Abdul Majeed, 57, diberikan ubat bius bagi membolehkan penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu tidur selain mengurangkan kesakitan.

Katanya, Saleem masih perlu berada di bawah pantauan doktor dalam tempoh sekitar tiga hari bagi memastikan kecederaan pada bahagian paru-paru akibat salah satu daripada 12 tulang rusuk yang patah telah mengenai organ tersebut.

“Syukur keadaannya (Saleem) dilaporkan stabil. Bagaimanapun doktor masih memberikan dia ubat untuk ‘ditidurkan’ sehingga keadaan benar-benar baik.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak mendoakan kesejahteraan Saleem dan diharapkan agar dia akan kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Julia memberitahu, pemeriksaan lanjut sedang dilakukan ke atas Saleem terutama pada bahagian paru-paru kerana bimbang sekiranya berlaku pendarahan.

“Doktor masih membuat pemantauan bagi mengenalpasti tahap kecederaan pada bahagian tersebut untuk mengetahui sama ada perlu dilakukan pembedahan atau tidak.

“Sejujurnya, saya tidak mahu lakukan pembedahan kerana bimbang akan risiko tinggi terhadap segala kemungkinan. Sekiranya ada kaedah lain selain pembedahan, insya-Allah kami sedang usahakan,” jelasnya.

Petang Khamis 20 September lalu, Saleem telah terlibat dalam kemalangan selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Cherry Easter di Bandar Mahkota Cheras, Kajang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN