KUALA TERENGGANU 19 Sept. – Dua Ahli Parlimen UMNO di negeri ini yang nama mereka ditularkan sebagai sebahagian daripada kelompok Ahli Parlimen yang akan meninggal UMNO dalam percaturan politik semasa, tidak akan bertindak sedemikian.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid ketika menafikannya berkata, beliau dan juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh tidak akan tergamak melakukannya terhadap parti yang sangat besar jasanya kepada agama, bangsa dan negara.
Rosol menegaskan, mereka berdua tidak akan mengikut jejak kalangan yang telah memulakan langkah baharu setelah UMNO dan Barisan Nasional kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kalau dikaitkan saya meninggalkan UMNO kini, saya sudah boleh lakukan dalam PRU-13 lagi setelah saya tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi. Saya ditawarkan tempat oleh parti pembangkang, dan saya percaya boleh menang, tetapi saya tidak akan menentang UMNO.
“Semua ini tidak benar sama sekali, bahkan akan berusaha bersama mengukuhkan parti,” ujarnya kepada Utusan Online ketika dihubungi petang hari ini selepas menghadiri pertemuan kalangan Ahli Parlimen UMNO dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE











