RM4,000 untuk 
tiga jam ceramah - Utusan Malaysia

RM4,000 untuk 
tiga jam ceramah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Kalam berkenalan dengan seorang pengetua yang bertugas di sebuah sekolah agama di satu kawasan pedalaman. Sebelum dinaikkan pangkat, dia adalah seorang guru penolong kanan (akademik) di sekolah bertaraf kluster.

Banyak perkara kami bualkan dan kebanyakannya ber­kisar tentang hal-hal berkaitan pendidikan. Antaranya, beban tugas guru, isu imbuhan, gaji dan kebajikan. Tidak terkecuali isu tekanan kerja dalam kalangan guru.

Lebih hebat lagi tekanan sekiranya seseorang guru itu bertugas di sekolah kluster atau sekolah berasrama penuh (SBP). Semuanya berkaitan dengan usaha memastikan keputusan peperiksaan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahu tidak mahu mereka perlu sentiasa kerja keras agar pelajar-pelajar mampu mendapat keputusan cemerlang setiap tahun. Itu tekanan kerja di sekolah kluster dan SBP. Bagaimana pula tekanan kerja di sekolah harian? Katanya kepada Kalam, guru-guru di sekolah harian juga menghadapi tekanan terutama sekolah yang mempunyai masalah disiplin serta pelajar-pelajar yang malas.

Katanya, dia sendiri berhadapan suasana berbeza, ketika bertugas sebagai pengetua dan ketika bertugas di sekolah kluster. Di sekolah kluster tekanannya lebih kepada usaha mempertahankan kecemerlangan akademik sekolah tetapi sebagai pengetua di sekolah pedalaman tekanan yang dihadapi adalah bagi memastikan para pelajar khususnya lelaki membuang sifat malas dan fokus pada pelajaran.

Bagi mengelakkan masalah berlarutan, dia pernah membawa seorang pakar motivasi dari Kuala Lumpur untuk memberikan nasihat kepada para pelajar kelas peperiksaan di sekolahnya dengan harapan mereka berubah.

Kenalan baharu Kalam ini sanggup mencari wang sebanyak RM2,000 sebagai bayaran kepada pakar motivasi ini. Bincang punya bincang dapatlah diskaun. Baginya jika ada segelintir pelajar yang berubah itu pun sudah memadai. Cuma Kalam ingin mengetengahkan satu isu yang berbangkit dalam sesi perbualan kami tentang satu perkara.

Yakni berkenaan ustaz-ustaz glamor dan terkenal yang mene­tapkan bayaran sehingga beribu-ribu untuk ceramah beberapa jam. Kisahnya, sebelum menjemput pakar motivasi berkenaan dia terlebih dahulu menghubungi seorang ustaz yang terkenal untuk memberi ceramah serupa di sekolahnya itu.

Selanjutnya, sahabat Kalam ini berurusan dengan pembantu peribadi ustaz berkenaan. Dia terkejut apabila pembantu peri­badi ustaz tersebut menetapkan bayaran sebanyak RM4,000 untuk ceramah selama tiga jam. Langsung tak jadi.

Katanya kepada Kalam, inilah trend yang berlaku sekarang. Mungkin juga ini adalah ujian daripada Allah SWT terhadap golongan ustaz sebegini. Ujian harta dan kemewahan. Bagi kenalan Kalam, bayaran RM4,000 ceramah untuk tiga jam terlalu tinggi apatah lagi yang menjemput itu ialah sebuah sekolah agama di kawasan pedalaman.

Katanya, tidak salah ustaz-ustaz terkenal mengenakan bayaran tinggi tetapi agak-agaklah. Tengoklah program. Ja­ngan pukul sama rata. Jika yang menjemputnya itu sebuah sekolah di kampung, takkan tetapkan bayaran RM4,000 untuk tiga jam ceramah.

Bagi Kalam, apa yang diluahkan oleh kenalan ini ada benar dan asasnya. Dia juga bukan calang-calang orang. Dia juga adalah seorang ustaz yang mempunyai pengetahuan agama cukup mendalam. Cuma untuk program sekolahnya itu, dia mahu kelainan agar para pelajar sekolahnya tidak bosan.

Kalam akur, khidmat yang diberikan oleh para ustaz ter­kenal ini ada imbuhannya tetapi biarlah munasabah. Ingat, sebagai duta agama dan terlibat dengan kerja-kerja agama banyak perkara perlu dipelihara. Renung-renungkanlah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini