PUTRAJAYA 16 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan rahsia perkahwinannya yang kekal bahagia dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali selama 62 tahun. Perdana Menteri berkata, toleransi serta perlunya menimbangkan perasaan pasangan dan masa depan anak-anak juga faktor penting dan kunci hubungan yang indah dan manis.
Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, beliau berkata, tiada siapa akan mampu mengubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan masing-masing sebagai cara untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.
Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, katanya, beliau sentiasa terkenangkan kehidupan indah di waktu muda bersama-sama Dr. Siti Hasmah yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu. Menurutnya, pada awalnya sudah pasti ada perbezaan, ketegangan dan semua itu.
“Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu,” katanya.
Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Dr. Siti Hasmah sentiasa menemaninya walaupun tidak terlibat dalam politik.
“Beliau menemani saya dan jika terpaksa tinggalkannya kerana ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan,” katanya.
Pasangan itu bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini sebahagian National University of Singapore) pada 1947 dan berkahwin pada 1956. – BERNAMA











