Reformasi PRK, AUKU - Utusan Malaysia

Reformasi PRK, AUKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 15 September 2018 berkaitan Pelaksanaan Pilihan Raya Kampus (PRK) oleh pelajar.

PKPIM konsisten menyatakan bantahan terhadap salah guna peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh pemerintah.

Bantahan terhadap soal prinsip kebebasan berkarya dan berjasa kepada masyarakat oleh mahasiswa adalah suatu prinsip yang tidak boleh tawar-menawar. PKPIM menyambut baik langkah kementerian menyemak semula tatacara pengurusan PRK. Sesungguhnya langkah ini menzahirkan komitmen kerajaan baharu dalam merealisasikan agenda reformasi secara menyeluruh termasuk hal ehwal kepemimpinan mahasiswa.

Sokongan penuh PKPIM zahirkan untuk agenda-agenda lanjutan yang mengangkat tema ‘Reformasi-islahiy’. Langkah ini dilihat dapat membuka ruang ke arah pengendalian PRK yang lebih telus oleh mahasiswa atas semangat ‘Dari Mahasiswa kepada Mahasiswa’.

PKPIM melihat ini adalah satu pengiktirafan kepada perjuangan mahasiswa yang konsisten menuntut hak kebebasan bersuara serta autonomi universiti terutamanya dalam perkara melibatkan badan pelajar.

PKPIM berpandangan penglibatan mahasiswa dalam proses PRK tidak harus disempitkan dalam mengurus hal ehwal kebajikan mahasiswa sahaja tetapi seharusnya berani memainkan watak kuasa ketiga atau kuasa semak dan imbang terhadap dasar kerajaan dan tindak-tanduk pembangkang.

Inilah semangat yang sewajarnya menjadi dasar Seksyen 15 AUKU (Pindaan 2012). Bukan kebebasan mutlak, sebaliknya kebebasan membina tamadun ummah dan kesejahteraan negara.

PKPIM menggesa semua mahasiswa memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan berharap lebih ramai pimpinan mahasiswa berkualiti dapat dilahirkan.

Harus ada garis pemisah jelas antara cara fikiran politik nasional dan idealisme poltik mahasiswa. Satu berpihak kepada kepentingan parti, satu lagi kepada penyuburan intelektualisme, aktivisme, spiritualisme dan idealisme mahasiswa era Malaysia baharu.

Muhammad Khair Sujud,

Presiden PKPIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN