Realiti dan nostalgia ‘Ali Setan’ - Utusan Malaysia

Realiti dan nostalgia ‘Ali Setan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini melalui perkongsian di aplikasi WhatApp, seorang kenalan penulis berkongsi sebuah video nostalgia membandingkan suasana dahulu dan kini kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang melalui beberapa sedutan dari filem Ali Setan. Menonton video itu sahaja sudah membuatkan jalan cerita filem Ali Setan yang mula ditayangkan di pawagam pada 16 Februari 1985 itu kembali berputar ligat di fikiran penulis. Filem komedi romantik yang diterajui watak utama Allahyarham Azmil Mustapha selaku Ali dan Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai Asmidar mencetuskan fenomena tersendiri di zaman itu.

Filem hasil sentuhan pengarah terkenal, Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin itu mengangkat tema kisah kenakalan Ali selaku seorang mahasiswa senior di universiti yang sering mengusik pelajar lain terutamanya Asmidar yang kerap menjadi mangsanya. Akhirnya dari benci memutikkan perasaan cinta dan selebihnya pembaca sudah sedia tahu apa kesudahannya.

Filem Ali Setan tidak dapat dinafikan memberi gambaran bagaimana kehidupan di kampus berjalan seperti suasana semasa pendaftaran pelajar baharu, dewan kuliah selesa serta jauh bezanya dengan saiz kelas di sekolah, dewan konvokesyen yang gah, siswa-siswi ke kuliah tanpa perlu berpakaian uniform serta pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus yang luas kawasannya.

Semua itu amat mengujakan dan membangkitkan motivasi pelajar sekolah khususnya remaja belajar bersungguh-sungguh untuk masuk ke universiti. Pendekatan menonjolkan gaya hidup di kampus dan pelbagai kemudahan yang terdapat di dalamnya masih digunakan sehingga kini sebagai salah satu bentuk promosi untuk menarik pelajar melanjutkan pengajian di institusi masing-masing. Tetapi kita harus berpijak di bumi nyata, kehidupan di kampus bukan hanya seperti yang terpapar dalam Ali Setan semata-mata.

Pada sudut pandang lain, alam kampus juga tidak terbatas dengan menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan diberikan pensyarah, mengulangkaji pelajaran dan menduduki peperiksaan di setiap akhir semester.

Sekiranya mahasiswa hanya menuruti kitaran ini sehingga tamat pengajian, ia adalah sesuatu yang amat merugikan pada pandangan penulis. Menikmati alam kampus dalam konteks menimba pengalaman di luar bilik kuliah bukanlah bermaksud mahasiswa perlu menjadi ‘setan’ seperti Ali sehingga memperjudikan ijazah yang ingin digenggam kelak.

Bagi memilih jalan yang betul di alam kampus, mahasiswa perlu berdamping dengan insan-insan yang tepat untuk memandu mereka agar tidak tersesat atau tersasar.

Di sinilah peranan senior selaku insan yang mudah didekati, berpengalaman dan makan garam dahulu dengan selok-belok kampus boleh memainkan peranan. Senior boleh menjadi mentor dalam aspek akademik misalnya kerana mereka telah menempuh beberapa semester pengajian justeru mempunyai pengetahuan mengenai silibus yang akan dipelajari pada setiap semester,karektor pensyarah yang mengajar, bahan rujukan yang bersesuaian serta tip-tip yang boleh dijadikan panduan.

Senior juga boleh membuka peluang dan ruang kepada junior untuk menyertai pelbagai program di kampus terutamanya menarik mereka dalam persatuan dan kelab pelajar yang ada di kampus. Apabila masuk ke universiti, tiada sesiapa yang mengetahui dengan jelas pencapaian dan minat kita sebelum ini semasa zaman persekolahan, justeru senior membantu menyalurkan mereka ke platform yang sesuai.

Bukan sahaja senior, pentadbir dan pensyarah juga wajar didekati oleh siswa kita kerana orang tua mengingatkan kita “Malu bertanya sesat jalan”. Selaku seorang yang matang, siswa juga perlu mengambil peluang untuk terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan di dalam kampus sama ada program berbentuk ilmiah dan santai. Beranikan diri juga ‘bergelumang’ dalam program kesukarelawanan yang membawa mereka mendekati dan menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat.

Pada masa sama, ambil peluang mencabar diri menimba pengalaman menguruskan program di kampus bermula dari program kecil sehingga program mega bertaraf antarabangsa. Melaluinya keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dapat ditingkatkan apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan melatih diri menjadi pemimpin dan pengurus yang baik.

Jika dapat kembali ke zaman mahasiswa, selain aktif berdebat, penulis ingin sangat mengambil peluang untuk mempelajari muzik gamelan dan tarian zapin secara serius! Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin dan Azmil Mustapha.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN