KUALA LUMPUR 30 Sept. – Bagi meringankan beban mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, orang ramai boleh menyalurkan bantuan melalui tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi yang dilancarkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi GPM, Syahrir Azfar Saleh berkata, ekoran gempa bumi berskala 7.4 magnitud dan tsunami yang melanda bandar Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah kelmarin, sejumlah 16,732 penduduk kehilangan tempat tinggal dan sebanyak 1.5 juta penduduk menerima kesan yang teruk akibat bencana alam tersebut.
“Tidak sahaja kehilangan nyawa, iaitu dipercayai sebanyak 832 penduduk terkorban malah dianggarkan sebanyak 540 mangsa lagi mengalami cedera parah yang menyebabkan kesemua mangsa-mangsa ini memerlukan bantuan segera bagi meneruskan kehidupan.
“Bantuan kemanusiaan asas yang diperlukan ketika ini termasuklah makanan siap saji, bekalan air bersih, sanitasi dan kit kebersihan, perubatan dan khemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Oleh itu, sumbangan daripada rakyat negara ini sangat diperlukan dan semua bentuk bantuan boleh disalurkan menerusi; www.billplz.com/gempasulawesi atau e-mel: [email protected] dan melalui deposit pindahan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION: Maybank: 5642 2161 1602, Bank Islam: 1402 3010 02922 4 Rujukan: tsunami atau menghubungi talian 013 222 6057. – UTUSAN ONLINE











