GEORGE TOWN – Walaupun nilai ringgit merosot, rakyat di negara ini masih terus melancong ke destinasi tempatan dan juga asing, demikian menurut Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Setiausaha Kehormatnya, Nigel Wong berkata, agensi pelancongan menawarkan kadar dan insentif khas kepada pengguna terutama semasa pameran MATTA di mana harga tambang menjadi sangat berdaya saing serta ini mendorong rakyat untuk melancong.
Beliau juga berkata, penurunan nilai ringgit tidak menjejaskan prestasi jualan mereka tetapi sebaliknya meraih keuntungan.
“Jualan sasaran kami untuk pameran MATTA di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berakhir pada 9 September lalu adalah RM200 juta dan walaupun angka akhir masih lagi diterima, disahkan yang ia telah melepasi sasaran kami,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Pameran MATTA 2018 Pulau Pinang selama tiga hari mulai pada 28 September ini akan menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai RM330,000.
“Pengunjung layak menyertai cabutan bertuah dan tiga pemenang bertuah akan menerima tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Kuala Lumpur ke Hanoi dan Kuala Lumpur ke Melbourne dengan penginapan masing-masing tiga malam untuk setiap set. – Bernama











