Kemunculan ‘budaya’ baharu hasil kerancakan dunia media sosial sekarang ini bagai tidak boleh disekat. Ada sahaja yang jadi ikutan generasi muda hari ini daripada perbuatan hingga kepada perkataan-perkataan baharu.
Selain swafoto (selfie) dan bergaya dengan outfit of the day (OOTD), merakam gambar dengan makanan antara yang menjadi kelaziman untuk dimuat naik dalam laman sosial, Instagram mahupun Facebook.
Jadi, bukan sesuatu yang pelik apabila masuk ke restoran, melihat masing-masing lebih asyik dengan telefon pintar daripada menjamah sajian yang telah terhidang.
Mengambil idea daripada minat ‘generasi’ media sosial tersebut, satu Muzium Swafoto atau Selfie Museum, bertemakan pemanis mulut dibuka di pusat beli-belah Fahrenheit 88, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengarahnya, Sean Tan berkata, muzium ini bakal menjadi satu lagi destinasi tumpuan orang ramai termasuk pelancong di Kuala Lumpur.
Katanya, ia menampilkan sembilan bilik yang diinspirasikan daripada ukiran makanan pemanis mulut, bagi memberi peluang kepada orang ramai merakam foto Instagram yang menyeronokkan.
“Muzium ini sesuatu yang baharu di Malaysia dan inspirasi di sebalik semua ini adalah bagi membolehkan rakyat Malaysia mengalami sendiri perjalanan pelbagai rangsangan deria daripada penglihatan, sentuhan dan rasa.
“Kami berharap dapat mengajak orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama mencipta momen dan kenangan yang istimewa,” katanya.
Sean berkata, muzium yang berkeluasan 7,000 kaki persegi itu dibina dengan kerjasama strategik dengan jenama-jenama terkenal antarabangsa dan tempatan yang mewakili sembilan bilik.
Antaranya, bilik The Giant Cakes Room by Pandora, yang mempamerkan pelbagai ukiran kek gergasi berwarna-warni. Pelawat juga boleh memilih kek cawan percuma dengan rasa tempatan seperti sirap atau gula Melaka.
Bilik Everything’s Sweet Room by Benefit Cosmetics pula dipenuhi ukiran gula-gula dan manisan bagi menambah warna ceria pada foto. Pelawat boleh menikmati jagung lembut dan gebu atau marshmallow laici apabila memasuki Fluffy Path yang indah untuk ke bilik sebelah.
Di Ice-Cream World Room by Baskin Robbins pula pelawat akan menerima satu kaup percuma ais krim atau gula kapas sambil bergambar dengan kon ais krim sebesar saiz sebenar.
“Setiap pelawat yang datang akan menerima sejumlah lima pemanis mulut secara percuma, iaitu kek cawan, sirap, ais krim, tat pisang dan teh buih.
“Mereka boleh merasai lima manisan Malaysia daripada lima bilik terpilih sambil merakam gambar bersama,” katanya.










