WASHINGTON 30 Sept. – Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho menegaskan Pyongyang ‘tidak akan’ melucutkan senjata nuklearnya selagi Amerika Syarikat (AS) berterusan mendesak supaya sekatan ke atas negara itu diperketatkan.
Pada ucapannya ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Yong-ho mendakwa Washington sengaja menimbulkan ‘jalan buntu’ berhubung rundingan proses pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.
“Kegagalan baru-baru ini adalah disebabkan oleh AS menggunakan pendekatan secara paksaan yang boleh membunuh usaha membina kepercayaan.
“Tanpa sebarang kepercayaan daripada AS, keselamatan negara kami tidak akan terjamin dan disebabkan itu, tidak mungkin kami mahu memulakan pelucutan senjata nuklear terlebih dahulu,” ujar Yong-ho.
Tambah Yong-ho, AS terlalu menekankan polisi ‘pelucutan senjata terlebih dahulu’ yang meningkatkan tahap tekanan oleh sekatan bagi mencapai tujuan mereka dengan cara paksaan
“Persepsi bahawa sekatan ini akan membuatkan kami melutut adalah hanya khayalan kepada mereka yang tidak mempedulikan kami,” katanya lagi.
Diketuai oleh AS, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan tiga resolusi sekatan tahun lalu yang disasarkan untuk melemahkan perolehan pendapatan Korea Utara ekoran pelaksanaan program nuklear dan peluru berpandu balistik Pyongyang.
Jelas Yong-ho kepada UNGA, pihaknya telah berhenti menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear, merobohkan tapak ujian dan berterusan melaksanakan usaha untuk membina kepercayaan.
“Bagaimanapun kami tidak melihat sebarang respon positif daripada AS,” ujarnya. – AFP











