Puluhan letupan gegar pinggir Boston - Utusan Malaysia

Puluhan letupan gegar pinggir Boston

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDOVER, Massachusetts – Berpuluh-puluh letupan yang disebabkan saluran paip gas asli pecah menggegarkan tiga kejiranan di Andover dekat Boston kelmarin, menyebabkan sekurang-kurang seorang maut, 12 cedera dan ratusan penduduk berpindah, kata beberapa pegawai.

Letupan itu juga menyebabkan berpuluh-puluh rumah dan bangunan lain musnah atau terbakar dengan anggota daripada 50 jabatan bomba bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran, manakala kru utiliti bergegas menutup bekalan gas serta elektrik di kawasan itu bagi mengelakkan letupan seterusnya.

Polis meronda di kejiranan tersebut dan menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan penduduk supaya segera mengosongkan kediaman mereka.

Penyiasat kebakaran mengesyaki ‘tekanan melampau pada saluran gas utama’ milik syarikat Columbia Gas of Massachusetts (Columbia Gas) menyebabkan letupan dan kebakaran berlaku, kata Ketua Jabatan Bomba Andover, Michael Mansfield pada satu sidang akhbar.

“Columbia Gas sedang menyiasat apa yang berlaku pada sistem miliknya hari ini (kelmarin)”, kata jurucakapnya, Ken Stammen pula.

Sementara itu, Hospital Besar Lawrence menerusi laman Facebook berkata, fasiliti itu merawat 13 orang yang cedera akibat terhidu asap dan mengalami trauma. Salah seorang daripada mangsa yang cedera itu kemudiannya meninggal dunia. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN