KUALA TERENGGANU 19 Sept. – Proses Islamisasi dalam bidang sukan di negeri ini agar seiring dengan dasar kerajaan akan dilakukan secara berhemah dengan sebaik mungkin, tanpa perlu tergopoh-gapah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu, dalam melaksanakan urusan dakwah itu pihaknya telah melantik Mufti negeri, Datuk Dr. Zulkifly Muda sebagai ahli lembaga pengarah Majlis Sukan Negeri untuk bersama membawa perubahan.
Menurut beliau, mufti agak terkejut awalnya dengan pelantikan itu yang difahamkan belum pernah dilakukan di mana-mana negeri, sebaik sahaja diberi amanah mengetuai portfolio berkenaan.
“Saya berikan jaminan bahawa saya akan lakukannya secara ‘tertib-terning’ dan tidak gopoh. Alhamdulillah Datuk Mufti bersetuju dan gembira dengan pendirian itu,” ujarnya melalui status yang dimuat naik dalam laman Facebook hari ini.
Pendirian beliau dan komitmen kerajaan negeri itu dijelaskan ketika ramai yang mengharapkan perubahan dalam adab dan etika bersukan termasuk penampilan (bentuk pakaian) dan pergaulan, apatah lagi ketika kontinjen negeri beraksi dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) kini.
“Itu juga yang saya dan kerajaan kita mahukan, tapi semua itu tidak boleh kita lakukan seperti memetik suis lampu. Kita bukan menguruskan robot tapi manusia.
“Sebab itu apabila ada atlet wanita kita (Azreen Nabila Alias) yang menjuarai sekali gus memecah rekod Sukma acara 100 meter dengan penampilan yang berbeza sama sekali dengan yang lain, maka kita raikannya.
“Dalam erti kata kita sangat menghargai kesanggupannya untuk berbeza penampilan dengan saingannya yang lain sekali gus memberi signal bahawa dengan penampilan begitu pun masih boleh menang kerana yang penting ialah kelajuannya, bukan pakaian,”ujar beliau.
Beliau berharap dengan penampilan yang diperlihat bersama dengan kejayaan membanggakan itu, masyarakat dapat terus memberikan semangat agar yang tidak lain turut mencontohi, dan tidak melemahkan mereka dengan mencari pelbagai sudut negatif atau pandangan sinis. – UTUSAN ONLINE









