BUKIT MERTAJAM 14 Sept. – Bukan makmal biasa tetapi kilang. Itulah dilakukan satu sindiket dipercayai memiliki rangkaian antarabangsa memproses dadah jenis erimin 5 dan beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Tengah di sini.
Dilengkapi peralatan yang dibawa masuk dari luar negara bernilai RM0.5 juta, sindiket terbabit mampu menghasilkan jutaan biji pil erimin 5 untuk dipasarkan di dalam Malaysia serta beberapa negara jiran.
Hasil kerjasama serta perkongsian maklumat dari pihak berkuasa Thailand, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Kontinjen Perak serta Pulau Pinang menjalankan satu operasi Selasa dan Rabu lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pada 11 September lalu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 46 tahun serta seorang wanita berusia 38 tahun di Pangkalan Hulu, Perak dalam operasi pada pukul 8 malam.
Bagaimanapun jelas beliau, berdasarkan maklumat diterima hasil soal siasat suspek, polis menyerbu sebuah kilang di Bukit Tengah di sini dan menemukan pusat memproses dadah itu.
“Dalam serbuan di kilang terbabit, kami merampas pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM72.5 juta.
“Antara dirampas 2.13 juta biji pil disyaki erimin 5, 742.6 kilogram (kg) serbuk dadah disyaki erimin 5 (yang boleh menghasilkan 2.47 juta biji pil), 27.3 kg dadah disyaki syabu, 5,080 biji pil disyaki ekstasi, 53.7 kg cecair bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses pil erimin 5,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid.
Tambah Mohmad, polis turut menyita akaun bank bernilai RM426,000; dua buah kereta jenis Toyota Vellfire dan Mercedes Benz; wang tunai RM3,000; pelbagai matawang asing bernilai RM6,049; dua utas jam tangan Rolex serta pelbagai jenis barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM1.1 juta.
Menurut beliau lagi, kesemua suspek direman sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sedang mengesan anggota sindiket itu dipercayai masih bebas selain menyiasat sejak bila mereka beroperasi di kilang tersebut selain mengesan pemilik kilang terbabit,” katanya.










