IPOH 18 Sept. – Gara-gara menyiku lawan ketika saingan berbaki 100 meter, kemenangan atlet Negeri Sembilan, R. Premkumaar dalam acara 10,000 meter jalan kaki lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak, hari ini dibatalkan.
Pengarah Pertandingan Olahraga Sukma 2018, R. Govindaraju mengesahkan perkara tersebut selepas keputusan juri rayuan membuat keputusan untuk menarik balik kemenangan yang dicipta Premkumaar dalam acara tersebut.
“Saya difahamkan juri rayuan sudah membuat keputusan selepas Perak mengemukakan bantahan apabila peserta Negeri Sembilan (Premkumaar) didapati menyiku peserta Perak (Mior Muhammad Amerul Mohd. Sahak) dalam 100m terakhir sekali gus membatalkan penyertaaan Premkumaar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Itu bermakna wakil tuan rumah, Mior Muhammad Amerul memenangi pingat emas dengan catatan masa 48 minit 48.03 saat, manakala perak dimenangi Irfan Hanania Abdul Shahir dari Perlis (50:07.41s) dan gangsa milik Nurhafiy Nasrul Zulkarnain dari Perak dengan masa 51:17.61s.
Semalam, acara jalan kaki 5,000m wanita menyaksikan penyertaan Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan gagal meraih emas meskipun menamatkan saingan di tempat pertama selepas melakukan tiga kesalahan.
Pembatalan itu disebabkan dia membengkokkan kaki serta berlari anak (floating) sebanyak dua kali dalam perlumbaan berkenaan menyaksikan pegawai teknikal melayangkan kad merah. – UTUSAN ONLINE










