KUANTAN 16 Sept. – Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) membidas dakwaan beberapa pihak kononnya penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan politik nepotisme apabila bakal kembali ke Dewan Rakyat.

Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu dan bukannya membabitkan pihak berkepentingan kerana Anwar ketika itu di penjara.
“Kalau orang benci Anwar, sudah tentu isteri dan anaknya juga tidak menang pilihan raya. Siapa kamu untuk persoalkan pilihan rakyat, kamu sendiri bertandinglah jika boleh menang. Kalau kata ini nepotisme, mereka semua ini tidak akan dipilih oleh rakyat.
“Ini demokrasi, ada keluarga lain juga terlibat dalam politik ayah dan anak, bukan Anwar sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Faiz mengulas amaran aktivis, S. Ambiga kepada Pakatan Harapan supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang diadaka bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Rabu lalu, PKR mengumumkan Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah. – UTUSAN ONLINE










