MELAKA – Pasukan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka memusnahkan satu beg kertas yang didakwa mengandungi bahan mencurigakan dekat Balai Polis Ayer Keroh di sini hari ini.
Beg berisi plastik berwarna biru dan hijau itu dimusnahkan dengan menggunakan alat pemusnah kawalan jauh di satu kawasan lapang pada pukul 1.40 petang.
Beg kertas itu dibawa oleh seorang pengurus bank ke balai polis yang mendakwa curiga dengan kandungannya selepas ditinggalkan sejak dua hari lalu berdekatan mesin deposit cek di premisnya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan beg kertas itu ditinggalkan oleh seorang wanita.

“Wanita itu meletakkan beg kertas tersebut dan terus keluar tanpa menggunakan mana-mana mesin di bank berkenaan.
“Tindakan memusnahkan dibuat kerana kandungan plastik berwarna biru dan hijau di dalamnya mencurigakan selain berat,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.
Menurut Afzanizar, selepas dimusnahkan pihaknya mendapati beg itu mengandungi lebih 300 keping kertas spesimen tandatangan pelanggan bank yang masih kosong.
“Setakat ini, motif sebenar wanita tersebut meninggalkan beg kertas masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE










