PADAWAN – Empat lelaki yang sedang leka ‘melayan’ dadah disyaki jenis syabu ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pondok di Lorong 7, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.
Keempat-empat lelaki yang berusia antara 40 hingga 58 tahun itu dicekup oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada pukul 1.30 petang.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejayaan tangkapan tersebut merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum itu.
Jelasnya, pemeriksaan di dalam pondok berkenaan kemudian menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.52 gram.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg sandang yang di dalamnya mengandungi satu keratan tiub straw dan tujuh paket plastik lutsinar masing-masing mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.75 gram.
“Nilai semasa dadah jenis syabu yang dirampas itu adalah sebanyak RM900,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, kesemua suspek telah dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya. – K! ONLINE










