GOMBAK – Polis mencari tiga lelaki yang dipercayai membunuh seekor kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah premis dobi layan diri di Taman Gombak Ria di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 40 tahun dan dipercayai sering berkunjung ke premis tersebut untuk mencuci pakaian mereka.
“Mereka bertiga diperlukan bagi membantu siasatan berkenaan kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kes melakukan khianat dengan membunuh haiwan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang melihat dan mengenali ketiga-tiga lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Najmi di talian 017-9291 359. Bantuan orang ramai amat diperlukan bagi menyelesaikan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini. – K! ONLINE










