KANGAR 20 Sept. – PKR negeri memandang serius dakwaan calon Naib Ketua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim bahawa terdapat calon yang menyogok ahli-ahli dengan barangan keperluan ketika menjelangnya pemilihan parti itu di Perlis, Ahad ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerja PKR negeri, Amran Kamarudin meminta Abdul Asymawi mengemukakan bukti serta saksi seterusnya membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan Biro Disiplin PKR berhubung perkara itu.
Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah mengingatkan para calon supaya tidak menggunakan budaya ugut, sogokan dan jawatan ketika berkempen menjelang pemilihan parti.
“Sogokan dan budaya begitu jelas tidak dibenarkan di dalam PKR. Kita harap pemilihan parti berlangsung dalam suasana harmoni dan bersih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum itu, Utusan Online melaporkan pemilihan PKR di Perlis yang dijadual berlangsung Ahad ini didakwa telah dicemari dengan tindakan segelintir calon yang cuba menyogok ahli-ahli dengan memberi barangan keperluan.
Abdul Asymawi yang mendedahkan perkara itu dilaporkan mendakwa, kegiatan tidak bertanggungjawab itu berlaku di kawasan Arau dan Padang Besar.
Dakwanya, kegiatan itu dikesan berlaku sejak dua minggu lalu apabila terdapat dalam kalangan calon yang berkempen telah pergi dari rumah ke rumah bagi memberikan sogokan tersebut yang merupakan beras serta barangan keperluan harian. – UTUSAN ONLINE











