LIKAS – Hampir 11 tahun menanti, pasukan Sabah akhirnya mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menang ke atas Kelantan 1-0 dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas di sini hari ini.
Berbekalkan gol tunggal hasil sepakan percuma pemain import, Rodoliub Paunovic pada minit ke-31, Sabah menjadi wakil tunggal pasukan Liga Perdana bersaing hingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Anak buah kendalian Jelius Ating, bermula hambar pada separuh masa pertama dengan memberi laluan kepada Kelantan mengawal penuh permainan.
Hasil gol Rodoliub ternyata menaikkan semangat skuad Badak untuk kembali mengawal rentak sehingga menafikan serangan Kelantan untuk mencari mata persamaan.
Memasuki separuh masa kedua, Sabah meneruskan rentak permainan terbaik dengan melakukan beberapa serangan di gawang pertahanan Kelantan.
Biarpun telah mendahului Kelantan, Sabah meneruskan serangan untuk mencari mata yang lebih selesa sebagai bekal ke separuh akhir.
Kelantan bagaimanapun cuba bangkit di minit-minit terakhir perlawanan sehingga hampir membolos gol Sabah pada minit ke-90.
Biarpun beberapa kali mendapat peluang sepakan percuma, anak buah kendalian Yusri Chelai gagal memanfaatkan sepakan. – K! ONLINE











