PH yakin tawan kerusi Parlimen Port Dickson - Utusan Malaysia

PH yakin tawan kerusi Parlimen Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEMAS – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin kerusi Parlimen Port Dickson akan dapat dipertahankan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini meskipun berhadapan dengan cabaran untuk  meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata untuk memastikan kemenangan selesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya akan berusaha keras untuk memastikan peratusan keluar mengundi meningkat berbanding tiga PRK sebelum ini – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia – yang merekodkan peratusan keluar mengundi rendah.

 “Selain gerak kerja untuk menarik pengundi keluar beramai-ramai, kita juga akan memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang kita kalah (DUN Bagan Pinang dan Linggi) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tempoh hari.

“Ini bukan bermakna kita akan meninggalkan kawasan yang sudah menang (DUN Chuah,Lukut dan Sri Tanjung)  tetapi kawasan-kawasan yang kalah itu perlu diberi tumpuan khusus untuk menarik penduduk keluar mengundi,” katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan  kepada  pemberita selepas  merasmikan  tapak kilang HeveaGro di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson diadakan pada Sabtu, 13 Oktober dan hari penamaan calon pada 29 September (Sabtu) manakala  hari pengundian awal pada Selasa, 9 Oktober.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan  berkata tarikh yang diumumkan SPR itu amat sesuai memandangkan hari pengundian adalah pada hari cuti mingguan.

“Tarikh 13 Oktober itu iaitu hari pengundian adalah pada hari Sabtu dan juga selepas perayaan Pesta Tanglung, jadi kemungkinan peratus orang ramai keluar mengundi itu akan meningkat memandangkan ramai pengundi bercuti.

“Bagaimana pun, inilah cabaran kepada saya selaku pengarah jentera pilihan raya PH untuk memastikan peratusan pengundi keluar mengundi semasa PRK nanti tinggi,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat seterusnya bagi persediaan untuk dilantik menjadi perdana menteri ke-8.

Anwar baru-baru ini juga menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR. 

Pada PRU-14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. 
Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong selepas PRU14, 9 Mei lepas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN