Peserta konvoi motosikal maut kemalangan - Utusan Malaysia

Peserta konvoi motosikal maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Kegembiraan 17 penunggang motosikal yang mengikuti konvoi dari Kelantan ke Gambang Waterpark, Kuantan, Pahang berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 68.5, Jalan Kuantan – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Batu Tiong di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul pukul 4.48 petang itu, mangsa, Mohd. Rusmin Ibrahim, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Nik Muhammad Amir Mazlan, 21, yang menunggang motosikal berasingan cedera parah. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 bersama 16 lagi motosikal lain sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas bercuti di Kuantan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kelompok motosikal itu. 

“Tiga penunggang motosikal lain berjaya mengelak kereta tersebut namun mangsa bersama rakannya yang dirempuh tercampak beberapa meter di atas jalan raya. 

“Sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia manakala rakannya mengalami patah paha sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini. 

Jelas Baharudin, Nik Muhammad Amir yang parah dalam kemalangan tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. 

Sementara mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat sebelum jenazahnya dibawa pulang ke Bachok, Kelantan bagi urusan pengebumian. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini