KOTA KINABALU – Saingan kumpulan D Piala Malaysia 2018 antara pasukan Sabah dan Pahang yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas di sini pada malam ini ditangguhkan pada esok.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil berkata, keputusan itu diambil bagi memberi penghormatan kepada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 yang turut berlangsung di Padang Merdeka malam ini.
Sambutan tersebut akan dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Asmah Mohamad Ali.
Menurut Alijus, penangguhan perlawanan dilakukan selepas pihak SAFA mendapat kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kita mengambil keputusan menangguhkan perlawanan ini bagi memberi penghormatan kepada sambutan Hari Malaysia.
“Setelah mengadakan perbincangan pada pagi tadi, kita bersetuju menangguhkan perlawanan antara Sabah dan Pahang,” katanya di sini hari ini.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada esok, waktu yang sama. – K! ONLINE











