LALUAN kereta api yang menghubungkan bandar antara Baghdad dan Fallujah di Iraq kini dihidupkan semula.
Landasan kereta api yang merentasi kawasan padang pasir di barat Iraq itu akan melalui landskap pemandangan kereta kebal terbakar serta bangunan-bangunan yang runtuh.
Bulan lalu, Kapten Imed Hassun berasa bangga kerana dia dapat kembali memandu kereta api di laluan yang pernah menjadi kubu kuat kumpulan pengganas Daesh itu.
“Saya tidak fikir perkhidmatan kereta api akan kembali di laluan ini,” kata Imed yang telah menjadi pemandu kereta api selama 30 tahun.
Ketika pihak berkuasa Iraq memerangi pengganas Daesh di Fallujah pada tahun 2016, banyak infrastruktur musnah di kawasan itu termasuk landasan kereta api.
Sebenarnya Imed dan pembantunya telah mengemudi kereta api bagi laluan Baghdad-Fallujah sejak sekian lama sebelum negara itu terperangkap dalam kancah peperangan.
Perkhidmatan kereta api untuk laluan tersebut terpaksa dihentikan sejak sekitar pertengahan tahun 2000 berikutan pertempuran antara pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan militan Sunni.
Ia berlarutan sehingga kebangkitan pengganas Daesh.
Imed yang berpakaian seragam biru dan putih ternyata gembira apabila memandu kereta api di laluan tersebut semula.
Setakat ini, dia telah berjaya memandu kereta api diesel buatan China yang baru dibina dengan kelajuan 100 kilometer sejam (km/j).
Dia tidak berani memandu laju kerana landasan kereta api itu baru sahaja dibaiki oleh sekumpulan pekerja yang berdedikasi.
“Ketika ia mula diusahakan, ramai orang mengejek kami.
“Tetapi kini, apabila konvoi pertama kereta api masuk ke stesen mereka mula mempercayainya. Sekarang mereka menuntut lebih banyak kereta api bergerak,” kata ketua jurutera landasan kereta api di Fallujah, Yussef Thabet.
Pun begitu, banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Yussef bersama pasukannya.
Murah
Stesen lama Fallujah telah runtuh dan kini diganti dengan struktur yang lebih kukuh dengan penyediaan kerusi plastik untuk ruangan menunggu.
Bagi kebanyakan penumpang, perkhidmatan kereta api itu adalah kaedah alternatif penting bagi mereka ke ibu kota, Baghdad.
Perjalanan menggunakan jalan raya kurang dipraktikkan kerana mereka terpaksa berhadapan dengan banyak sekatan anggota keselamatan.
Selama bertahun-tahun, pelajar perubatan, Ali Ahmad menaiki bas mini setiap minggu untuk ke kampus universitinya di Baghdad.
Kini pada tahun terakhir pengajiannya, dia mendapati dengan menggunakan kereta api telah memberikan banyak kemudahan kepadanya.
“Saya boleh menyemak semula apa yang dipelajari di dalam kereta api berhawa dingin selama satu jam setengah tanpa diganggu asap rokok,” katanya.
Dalam pada itu, Sinan Majid, 28, pula menjelaskan, perkhidmatan kereta api itu memudahkan urusannya untuk membeli stok pakaian di Baghdad sebelum dijual di kedainya di Fallujah.
“Dengan kereta api, kita akan mengetahui waktu perjalanan dan tidak ada kelewatan,” jelasnya.
Sementara itu, pendandan rambut, Omar Khalil berkata, tiket kereta api juga murah.
“Kos tiket kereta api ialah AS$1.6 dolar (RM7) sedangkan jika menaiki bas mini harga tiket yang dikenakan sebanyak AS$2.9 dolar (RM12). Kalau saya mengambil teksi pula harga yang dikenakan adalah sebanyak AS$8 dolar (RM34),” katanya.
Kereta api akan bergerak setiap hari dari Fallujah pada pukul 6.45 pagi bagi perjalanan sejauh 65 kilometer (km) ke Baghdad dan akan pulang semula pada pukul 3 petang.
Waktu operasi itu amat sesuai untuk para pekerja dan pelajar.
“Purata sekitar 250 penumpang menggunakan kereta api ini setiap hari,” jelas pengurus pengangkutan wilayah Anbar, Abdel Muttaleb Saleh.
Iraq mempunyai landasan kereta api sepanjang 2,000km dengan jaringan perjalanan sehingga ke Istanbul, Turki sejak tahun 1940.
Kini Iraq merancang untuk membangunkan semula perkhidmatan kereta apinya.
Pada masa ini, landasan antara Baghdad dan Akashat di sempadan Syria juga berfungsi.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kereta Api Iraq, Taleb Jawad Kazem berkata, kerja-kerja sedang dilakukan untuk membuka semula laluan di Baiji, Tikrit dan Samarra di utara Baghdad.
Pada tahun 2016, Iraq telah membelanjakan sekitar AS$137 juta dolar (RM566 juta) untuk membeli 12 kereta api baharu dari China.
Akibat peperangan sebelum ini, rel, stesen, peralatan, jambatan dan terowong telah mengalami kerosakan lebih 90 peratus. – AFP











