ALOR SETAR 28 Sept. – Perhimpunan Agung UMNO yang bermula malam ini merupakan medan ujian buat kesemua ahli serta pemimpinnya untuk meneruskan perjuangan ketika mereka tidak lagi berada di tampuk kuasa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kalangan pejuang parti tidak seharusnya terus berkabung dan bersedih dengan kekalahan pada pilihan raya umum lalu sebaliknya perlu mengambil iktibar daripadanya.
Menurutnya, disebabkan parti itu tidak mempunyai pengalaman selaku pembangkang secara total, maka ramai yang memilih untuk menyeberang ke pihak lain bagi memegang kuasa.
“Tindakan itu dilakukan kerana sebab peribadi, perjuangan, ditekan pemerintah supaya keluar parti selain kelangsungan hidup. Namun tidak dinafikan ada juga yang menyertai parti pemerintah kerana berpandangan agenda Islam dan Melayu harus dilaksanakan dari dalam.
“Begitu pun kita yang tinggal harus mula bertanya, apakah kita akan terus berhiba, mengenang nasib lalu dan berulang-ulang bercakap soal kekurangan serta kesilapan kita. Atau mungkin kita perlu mula bangkit menggenggam bara api sehingga menjadi arang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan, adakah ketika ini setiap ahli UMNO perlu mencari salah satu sama lain supaya menampakkan keburukan rakan sendiri sedangkan kekalahan pada pilihan raya umum lalu secara dasarnya dipikul sebagai satu pasukan besar dalam Barisan Nasional (BN).
“Ya, kita ada kekurangan dan kesilapan kerana di dunia ini tiada manusia yang sempurna dan parti yang tidak mempunyai cacat cela. Malah sebahagian dalam parti lawan lebih buruk dan hodoh sikapnya berbanding kita.
“Namun kita ini bukanlah begitu hina dan buruk seperti digambarkan pihak lawan. Selama lebih 60 tahun mentadbir negara, kita telah membawa kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan yang sangat menakjubkan berbanding negara serantau,” katanya.
Tambahnya, tidak kisah sama ada pembangunan itu dilakukan di bawah mana-mana Perdana Menteri sekali pun sama ada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada pihak yang mampu menafikan bahawa semua itu merupakan hasil perjuangan UMNO dan parti komponen BN.
“Sudah tentu apabila kita kalah, musuh dan mereka yang berfikiran negatif akan membicarakan mengenai keburukan dan kekurangan sehingga melupakan kebaikan dan sumbangan kita selama ini.
“Itu memang sudah menjadi lumrah. Soalnya, adakah UMNO pada hari ini akan terus mengasingkan diri dan malu dengan serangan musuh atau bersedia untuk bangkit semula sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat?” soalnya. – UTUSAN ONLINE











