JOHOR BAHRU 25 Sept. – Rakyat negara ini khususnya orang muda perlu terus diajak untuk memahami sejarah selain mendengar sendiri pengalaman mereka yang terkesan daripada tindakan komunis yang terbukti tidak boleh diiktiraf perjuangannya.
Aktivis Angkatan Demokrasi Milenial Bersekutu (Muda), Onn Mahathir Md. Nasir berkata, langkah itu penting untuk mengetahui cerita sebenar kerana orang muda tidak mengalami perkara tersebut sekali gus tidak tahu fakta yang betul dan yang salah.
Menurutnya, orang muda perlu sedar bahawa mana-mana perjuangan yang pelaksanaannya dibuat sebagai contoh dengan kekejaman kepada orang awam atau mendatangkan kematian, perjuangan itu jelas tidak boleh diiktiraf dan diangkat.
“Saya lihat orang muda ini mudah terpengaruh atau mungkin tidak mendapat maklumat daripada sumber yang sepatutnya dan atas sebab itu kita undang orang yang ada pengalaman untuk berkongsi cerita dan mahu golongan muda menilai semua itu sebaiknya.
“Ini kerana kalau kita sebagai orang muda sendiri tidak tahu macam mana hendak jelaskan kepada generasi akan datang, bagaimana kita nak memimpin negara kita satu hari nanti? Jadi, kita perlu tahu fakta sejarah dan ambil maklum semua sumber.
“Kita tidak boleh ambil daripada satu sudut lebih-lebih lagi kita sendiri tidak mengalaminya. Kita tidak tahu perasaan orang terdahulu bagaimana…kalau mati tentera kata itu satu bonus tetapi kalau hidup dengan kecacatan kekal akibat kekejaman, saya rasa ia satu perkara yang tidak boleh diterima untuk diiktiraf,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas forum Muda-Komunis, Pejuang atau Petualang? yang mengundang dua speaker iaitu penerima anugerah Penglima Gagah Berani (PGB), Lt. Kol. (B) Basri Omar dan Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Mengulas mengenai forum itu, beliau memberitahu, program seumpama itu akan terus diperhebatkan di masa akan datang termasuk menjelajah ke seluruh negeri ini dengan membawa fakta dan sumber yang sahih untuk diceritakan dan dinilai oleh orang muda.











