KUALA TERENGGANU 26 Sept. – Rakan kepada tiga pelatih Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bharu yang terbabit dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, malam tadi tidak menyangka itu kali pertama dan terakhir mereka dapat pulang bercuti ke kampung bersama-sama.

Imannuddin Ahmad Zaidi, 19, berkata, lebih menyedihkan apabila kemalangan tersebut berlaku hanya selepas kira-kira 30 minit mereka menghantarnya pulang ke rumah keluarga di Kampung Losong Haji Shafie di sini sebelum meneruskan perjalanan ke
destinasi berikutnya.
“Mulanya saya bercadang membeli tiket bas tetapi Syaifudeen Sobree beriya-iya mengajak saya pulang bersamanya dengan kereta. Ini kali pertama saya ke kampung bersama
mereka dan tidak sangka menjadi yang terakhir.

“Sebaik sahaja tiba di Kuala Terengganu kira-kira pukul 10 malam, mereka terus menghantar saya ke rumah sebelum meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Kemalangan berdekatan simpang Felda Belara kira-kira pukul 10.26 malam itu mengorbankan Syaifudeen Sobree Abdul Rahman, 24, dari Tumpat, Kelantan dan Che Wan Hasbullah Che Wan Zubaidi, 22, dari Kampung Raja di Besut di samping menyebabkan Nik Muhamad Arif Mohd. Afandi, 22, dari Pasir Puteh cedera parah.
Turut terkorban, penumpang belakang sebuah lagi kereta, Mohd. Kamarul Zaman Asdi, 24, manakala pemandu dan penumpang lain kenderaan itu, Suhaimi Mohd. Yusof, 23, dan Tun Mohd. Shuhairy Tun Mat Rani, 21, cedera.

Kenderaan Proton Iswara pelatih berkenaan yang dipandu Nik Muhamad Arif bertembung dengan Proton Wira yang datang dari arah bertentangan. Pertembungan kuat menyebabkan Proton Iswara itu terjunam ke dalam cerun manakala Proton Wira terbabas ke bahu jalan.
Menurut Imannuddin, kesemua mereka merupakan pelajar Diploma Teknologi Penyaman Udara dan Penyejukan dengan ketiga-tiga mangsa menuntut di semester empat dan masing-masing mempunyai hubungan persahabatan yang sangat akrab kerana tinggal sebilik di asrama.
Ujarnya, selepas beberapa minit tiba, dia ada mencuba menghubungi Syaifudeen Sobree untuk bertanyakan lokasi mereka tetapi tidak dijawab.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Idris Abd. Rafar pula berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.











