Perhimpunan Agung UMNO: Perwakilan bebas berbahas - Utusan Malaysia

Perhimpunan Agung UMNO: Perwakilan bebas berbahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Perhimpunan Agung UMNO 2018 bakal menampilkan sisi baharu parti berteraskan Melayu itu apabila tiada sebarang sekatan atau garis panduan khusus diberikan kepada pembahas dalam membahaskan ucapan dasar presiden.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, para pembahas diberikan sepenuh kebebasan untuk melontarkan kritikan dan idea membina selagi perkara itu tidak me­nyalahi peraturan.

Jelas beliau, intipati perbincangan akan menjurus kepada hala tuju UMNO pada pasca pilihan raya umum, adakah perjuangannya masih relevan, selain apa penambahbaikan yang perlu dilakukan.

“Kita berikan kebebasan kepada jurucakap (pembahas) untuk menyampaikan suara hati masing-masing bagi Majlis Tertinggi khususnya presiden menyelami hasrat akar umbi,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar me­minta kesemua ahli UMNO untuk tidak semudah menghakimi pencapaian Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang baru mengemudi parti tersebut.

Beliau menegaskan, semua ahli perlu bersabar dan memberi peluang kepada Ahmad Zahid kerana beliau kini sedang berusaha melakukan perubahan mengikut acuan UMNO.

“UMNO dalam proses memperkasakan parti, nak hakimi kita hakim pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), ini baru empat bulan. Ranting akan gugur dahan akan patah, tapi pokok tidak tumbang, akar tidak tercabut.

“Jangan cuba hendak hakimi kepemimpinan termasuk Ahmad Zahid dan kita berjanji saf pimpinan akan berada dalam satu barisan dan memulakan langkah yang bukan lagi konvensional,” katanya.

Sementara itu Annuar berkata, Pas secara lisan bersetuju untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada 29 hingga 30 September ini yang akan dihadiri seramai 5,730 perwakilan dari seluruh negara.

Katanya, kehadiran Pas memberi makna besar dalam konteks gabungan pembangkang yang tidak boleh bergerak secara berasingan dalam usaha menumpaskan Pakatan Harapan (PH).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN