LONDON – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di London ketika hampir tengah malam semalam untuk peringkat kedua lawatan kerja beliau ke United Kingdom (UK) selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat (AS).
Mahathir akan menghadiri beberapa acara di sini pada hari ini dan esok (1 Oktober) sebelum pulang Malaysia.
Hari ini, Mahathir akan menghadiri program bersama Lotus Cars, berjumpa dengan rakyat Malaysia pada satu jamuan minum lewat petang dan menghadiri taklimat berkenaan hutang dan ekuiti.
Sebelum mengakhiri lawatan beliau ke UK pada Isnin ini, Mahathir dijadual berucap mengenai “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House dan dijangka menghadiri satu sesi taklimat mengenai reformasi polis dan sektor awam di UK.
Dalam peringkat pertama lawatan beliau ke UK pada 21 hingga 25 September lalu, Mahathir telah menyampaikan syarahan bertajuk “Cabaran – Cabaran Terhadap Tadbir Urus Yang Baik Bagi Dunia Islam” yang diadakan di Pusat Pengajian Islam Oxford, melawat Imperial College London dan menghadiri sesi dialog bersama rakyat Malaysia. – Bernama











