KUALA LUMPUR 29 Sept. – Perebutan dua tiket suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-78 daripada Kumpulan C terus sengit, terbuka dan mendebarkan apabila penerajunya Pahang dikejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 hari ini.
Perak pula memastikan tiket suku akhir daripada Kumpulan A, mengiringi Pulau Pinang yang telah layak semalam, selepas menumpaskan Kedah 3-0 di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Perak kini mengumpul enam mata, kurang tiga berbanding pendahulu, Pulau Pinang hasil dua jaringan Azamad Mustafa dan Ahmad Azhar Arbi sekali gus menyingkirkan Kedah (empat mata), Perlis (dua) dan Negeri Sembilan (satu).
Pahang yang sepatutnya cuma perlu seri di Padang Pulapol, Kuala Lumpur untuk layak ke pusingan kalah singkir PERR terpaksa menunggu nasibnya ditentukan dalam baki dua perlawanan Kumpulan C esok.
Mereka dikejutkan oleh jaringan tunggal pemain PDRM, Christopher Keli tujuh minit sebelum tamat permainan manakala gol Syazwan Suhimi pada minit ke-22 menjadi penyelamat Terengganu yang menumpaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Stadium Kuala Lumpur.
Pahang masih menerajui Kumpulan C dengan tujuh mata selepas empat perlawanan diikuti Terengganu yang mengumpul enam mata namun cuma perlu seri dengan Kuala Lumpur yang disingkirkannya ke tempat ketiga.
Kuala Lumpur yang dibimbing Mat Zan Mat Aris tidak beraksi semalam, dan kini perlu menewaskan Terengganu di Padang Kilat, Kuala Lumpur esok selain mereka memiliki kelebihan gol agak besar berbanding Pahang jika terikat tujuh mata.
Sementara itu Perlis dan Negeri Sembilan seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor hasil jaringan Ikmal Faiz Azmi dan Wan Khairul Faiz Kamaruddin yang menyamakan dua gol Suhaili Ab. Rahman.










