Perak lakar aras baharu penganjuran Sukma - Utusan Malaysia

Perak lakar aras baharu penganjuran Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Sept. – Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang berakhir hari ini diterima sebagai antara yang terbaik dalam sejarah penganjuran temasya sukan dwi tahunan itu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, hasil kerja keras semua pihak, Perak berjaya meletakkan tanda aras baru kepada penganjuran Sukma.

Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang sangat baik daripada kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Negeri Perak mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada para atlet dari kesemua 14 kontinjen termasuk dari Brunei Darussalam yang telah menunjukkan tahap semangat kesukanan yang begitu tinggi sepanjang temasya Sukma kali.

“Kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kontinjen Terengganu yang telah ditabalkan sebagai juara keseluruhan serta pasukan bola sepak Perak kerana telah mempertahankan ibu segala pingat emas Sukma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Sukma 2018 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Stadium Perak, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, penganjuran Sukma 2018 juga telah mencetuskan minat yang mendalam rakyat negeri Perak terhadap aktiviti sukan.

Menurutnya, ini dapat melihat bagaimana rakyat Perak hadir beramai-ramai di semua venue pertandingan di 12 daerah seluruh negeri ini bagi memeriahkan kejohanan.

Katanya, atas semangat itu, kerajaan negeri akan mengorak langkah menjadikan bandar raya Ipoh sebagai Bandaraya Sukan.

“Bukan sahaja acara sukan, Ipoh Sports City juga berpotensi untuk menjadi hub kepada pelbagai acara pameran dan persidangan sukan, sekaligus menjadikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini.

“Untuk rakyat Perak, saya mahu menyatakan komitmen pentadbiran yang baharu ini untuk menjadikan bandar raya Ipoh sebagai ibu negeri yang meriah dengan pelbagai acara sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini