SERI MANJUNG 18 Sept. – Perak menagih sokongan padu penyokong tuan rumah untuk memburu kejuaraan hatrik bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila menentang Kedah dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, esok.
Ketua jurulatih Perak, Chan Wing Hoong berkata, kehadiran penonton mampu memberi kekuatan luar biasa kepada anak-anak buahnya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua kali berturut-turut sejak 2014.
“Kehadiran penyokong Perak mampu memberi semangat luar biasa kepada pemain. Saya harap mereka dapat memberikan sokongan padu dalam aksi final nanti.
“Pujian perlu diberikan kepada peminat kerana mereka tetap menyokong pasukan meskipun ketika kami sedang ketinggalan. Sokongan mereka benar-benar memberi kesan kepada persembahan pemain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perak melangkah ke final selepas menumpaskan Sabah 2-1 dalam separuh akhir semalam, biarpun dikejutkan jaringan awal Ariusdius Jais pada minit ke-15.
Sokongan berterusan yang ditunjukkan penyokong di Stadium Majlis Perbandaran Manjung membolehkan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhamad Asyraaf Mat Pushni, dua minit kemudian, sebelum Muhammad Alif Rieza Naharuddin meledak gol kemenangan pada minit ke-56.
Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Victor Andrag melaungkan amaran bahawa pasukannya sedia mengekang hajat besar Perak untuk memburu kejuaraan hatrik selepas melangkah ke final pertama sejak 2006.











