MUMBAI – Seorang penumpang India mencetuskan panik di ruang udara apabila dia cuba membuka pintu pesawat kerana menyangka ia pintu tandas, kata syarikat penerbangan berkaitan dan beberapa laporan.
Lelaki itu menaiki sebuah penerbangan GoAir dari New Delhi menuju ke Patna, Sabtu lepas apabila dia cuba membuka pintu belakang pesawat, kata syarikat penerbangan tersebut.
“Seorang penumpang lain memaklumkan perbuatannya dan dia dihalang oleh beberapa kru penerbangan,” kata GoAir dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada agensi berita AFP semalam.
Media India melaporkan bahawa pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu pertama kali menaiki kapal terbang.
Apabila penumpang lain menanyakan tentang apa yang dia lakukan, pemuda itu memberitahu bahawa dia perlu segera menggunakan tandas dan cuba menarik pintu itu, akhbar The Telegraph memetik seorang pegawai lapangan terbang sebagai berkata.
GoAir menyatakan, penumpang itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut selepas pesawat tersebut mendarat dengan selamat di destinasinya.
Insiden itu berlaku hampir seminggu selepas kekeliruan dalam kokpit mengakibatkan lebih 30 penumpang sebuah pesawat milik Jet Airways mengalami pendarahan telinga dan hidung selepas kru penerbangan terlupa memetik suis untuk menghidupkan sistem tekanan udara dalam kabin. – AFP











