KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi (gambar kecil) mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme khusus bagi melindungi penjawat awam yang memberi maklumat berhubung penyelewengan dan salah laku dalam pentadbiran.
Katanya, perkara itu penting supaya pemberi maklumat dilindungi undang-undang di samping mengikuti proses yang lebih jelas dan teratur.
“Kerajaan boleh menggunakan konsep sama seperti diamalkan kebanyakan syarikat sektor swasta iaitu menyediakan satu e-mel dan nombor telefon khusus buat pengadu.
“Penerima aduan tidak akan mendedahkan identiti pengadu terbabit. Kerajaan boleh tentukan nak bawa laporan itu pada ketua setiausaha kementerian atau menteri sendiri, (mereka perlu) adakan polisi. Saya difahamkan belum ada lagi dasar atau polisi khusus berkait perkara ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan seminar bertajuk Pengasingan Kuasa: Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam? anjuran Institut Tadbiran Awam Negara di sini semalam.
Sementara itu, Zaki ketika berucap memberitahu, tanggungjawab utama kira-kira 1.6 juta penjawat awam adalah untuk memberi nasihat kepada pemimpin politik mengenai cara melaksanakan dasar tanpa melanggar undang-undang.
Ujarnya, penjawat awam juga tidak boleh terpesong dan menyebelahi mana-mana parti politik dengan berkempen serta menggunakan peruntukan serta kemudahan kerajaan bagi pihak tertentu. – Bernama











